Tuesday, 15 January 2013

Terukir Di Bintang


Assalam mualaikum warahmatullahi wabarakatuh

Semua manusia mengimpikan kejayaan didalam setiap bidang yang diceburi. Tidak kira 'status' sebagai apa, kejayaan tetap diburu meskipun ia kelihatan kecil dan tidak penting bagi sesetengah pandangan orang.

Mencapai atau mendapat kejayaan boleh dikatakan sebagai mendapat hasil akhir yang diidamkan. Untuk mendapatkan hasil ini ia memerlukan satu plan perancangan yang sistematik yang melibatkan peranan individu didalam mencapai matlamat yang telah di'set'kan didalam perancangan tersebut.

Bagi pelajar lulus peperiksaan dengan cemerlang adalah kejayaan mereka.Manakala bagi ibubapa pula apabila mendengar dan menerima keputusan peperiksaan cemerlang anak-anak juga merupakan satu kejayaan buat mereka. Syukur, sambil meraikan kejayaan ini adalah puncak segala kegembiraan.

Apabila meraikan kejayaan didalam peperiksaan, dua individu ini yang paling gembira.Pelajar ( anak-anak ) dan ibubapa. Sebolehnya ingin mereka war-warkan seantero dunia atau terukir dibintang mengukirnya dibintang akan kejayaan ini. Bukan sebagai tanda megah atau riak tetapi satu perasaan puas selama ini yang terpendam dan terkurung disebalik perasaan risau, takut dan tertekan akhirnya telah hilang ditelan oleh perasaan gembira yang teramat.

Meraikan kejayaan dengan penuh kesyukuran kepada Allah Yang Maha Pemurah adalah satu kewajipan sesudah kita menerima kejayaan. Sesungguhnya segala kejayaan itu adalah Rahmat dari Allah Yang Maha Penyayang. Sekuat mana pun usaha dan pengorbanan yang kita lakukan untuk mencapai kejayaan semuanya adalah ketentuan dari Allah Yang Maha Kuasa.

Kenangkan kembali kaum-kaum dahulu yang binasa. Akibat dari terlupa dek melayan perasaan puas menggengam kejayaan. Terlupa akan kesyukuran yang wajib dilakukan kerana kejayaan itu adalah anugerah dari Allah Yang Maha Mengetahui. Qarun tersungkur ditelan bumi akibat tidak bersyukur. 'Sesungguhnya kekayaan dan kejayaan aku ini adalah hasil usaha dan kebijaksanaan aku sendiri'. Ayat kufur yang diucapkan sebagai meraikan kejayaan telah menyebabkan segalanya musnah sekelip mata dan jadilah dia manusia yang gagal selamanya.

Meraikan kejayaan tidak salah malah sebagai manusia yang lemah serba serbinya, meraikan kegembiraan adalah satu tenaga yang perlu dilepaskan. Selagi tidak dilepaskan ia tidak akan puas. Menangis, ketawa, menjerit bahkan melompat adalah satu tindakan refleks yang berlaku takala mengetahui perkhabaran gembira ini.

Namun harus diingat dan difahami, bahawa meraikan kegembiraan haruslah didahului dengan banyak bersyukur. Bersyukur dan terus bersyukur memuji Allah Yang Maha Pengasih kerana telah memberi anugerah, rahmat dan rezeki kepada kita.

Sesungguhnya didalam meraikan kejayaan juga adalah merupakan satu ujian untuk pelajar dan ibubapa.

Dimana letaknya ujian tersebut?

Rujuk kembali kisah Qarun. Apakah yang menyebabkan dia musnah?

Kadangkala kita sebagai manusia kita terleka disebabkan puas meraikan kejayaan. Kepuasan terbayang diwajah kerana sebelum ini segala penat lelah dan kesukaran didalam mendaki ke puncak kejayaan terasa benar akan peritnya. Malah parut dan kesan terluka akibat duri dan selumbar dijalanan juga hilang setelah mendapat kejayaan. Sesungguhnya kita gembira tak terkata.

Disinilah bermulanya jarum dari makhluk yang dilaknat oleh ALLAH Yang Maha Pencipta.

Disebabkan keterujaan menceritakan pergorbanan, strategi atau teknik belajar yang dilakukan sebelum ini, kita terlupa mengungkap rasa terima kasih Ya Tuhanku dipermulaan ayat.

Tanda soal  ???

Mungkin selama ini kita sebahagian daripada Qarun dizaman moden. Syukur tidak diazabkan dengan tanah serta merta tetapi runtunan akhlak dikalangan pelajar dengan segala permasalahan disiplin sampai sanggup memukul guru, biadap akhlaknya, berzina, vandalism dan sebagainya adalah azab persis yang menimpa Qarun?

.......kita terlupa mengungkap rasa terima kasih Ya Tuhanku dipermulaan ayat. Mungkin sebahagian kita memandang enteng. Apalah sangat dan cukuplah hanya menyebut Al-Hamdulillah dan selebihnya adalah bait-bait perkataan yang perlu dihembur dan diceritakankan mengenai usaha dan pergorbanan yang telah kita lakukan selama ini. Bercerita tentang apa yang kita lakukan dan peranan kedua ibubapa yang telah dimainkan sehingga tercapainya kejayaan ini. Kita bersungguh menerangkan kaedah dan strategi belajar yang digunakan semoga dapat dijadikan panduan dan ikutan rakan-rakan tetapi kita masih juga terlupa memulakan rasa syukur kepada Allah Yang Maha Bijaksana didalam setiap pengucapan.

Tidak bersyukur adalah permulaan menuju kepada kehancuran.

ps: Tamat untuk babak pertama 140113



No comments:

Post a Comment

Post a Comment