Monday 15 August 2011

Pembunuhan di universiti ?

Seorang professor disebuah universiti tempatan ( nama dirahsiakan) terkejut dan terpinga-pinga apabila tanpa diduga seorang pelajar lelaki telah menjerit dan menyatakan bahawa dialah pembunuh sebenar pelajar disini selama ini.

" Proflah yang telah cuba membunuh kami dan proflah juga yang telah menyeksa bukan kami sahaja, malah pelajar-pelajar sebelum ini bertahun-tahun lamanya. Kami ini tidak ubah seperti haiwan peliharaan didalam sebuah sarkas", bentak pelajar lelaki tersebut.

" Kenapa kamu sanggup menuduh saya sebagai pembunuh? Apakah salah dan dimanakah silap saya sebelum ini", soal professor tua itu perlahan ingin mendapatkan penjelasan.

" Apakah dengan soalan saya tadi, tergamak kamu mengeluarkan kata-kata sebegitu", sayu kedengaran dari mulut si professor itu.

Terkenang dia kembali detik 90 minit yang baru berlalu sebentar tadi. Semuanya berpunca dari soalan yang diajukan kepada pelajar tersebut. Baginya sebagai seorang professor adalah menjadi tanggugjawab memastikan pelajarnya faham apa yang diajar dan hari ini ditengah-tengah waktu pembelajaran dia telah menyoal satu soalan untuk menilai tahap kefahaman pelajar-pelajarnya.

Persoalan yang diajukan bukanlah persoalan luar yang memerlukan mereka mengambil masa berhari-hari untuk menganalisa. Malah yang penting, soalan itu merupakan salah satu soalan utama didalam peperiksaan akhir nanti. Niatnya agar hari ini para pelajarnya dapat membincangkan bagaimana jawapan sebenar dan tepat yang perlu mereka ketahui semasa menjawab di final nanti.

Suasana dewan kuliah itu sepi semasa dia mengajukan soalan tersebut.

" Bagaimanakah caranya kamu dapat mengukur ketinggian sesuatu bangunan dengan menggunakan barometer ?". Dua kali dia mengulangkan ayat tersebut sambil menulisnya dipapan hijau dibelakangnya.

Hampir dua minit tiada sepatah kata keluar dari mulut pelajar didalam dewan kuliah tersebut. Senyap. Semuanya terpana mungkin takut disuruh menjawab.

" Husin bagaimana dengan jawapan kamu", soalnya kepada seorang pelajar lelaki disitu.

Suasana kembali sedikit berbunyi. Mungkin kebanyakkan mereka merasa selamat kerana bukan orang pertama yang disoal.

Husin pelajar bertuah yang disoal. Bangun perlahan dengan muka ketat seolah-olah bosan dengan gaya pengajaran professornya.Disebabkan reaksi wajah sebegitu, dia sering menjadi sasaran seumpama kaunter pertanyaan. Apa saja bab atau tajuk kuliah si professor ini, Husinlah yang akan menjadi bahan ujikaji setiap persoalan. Semakin hari semakin ketat muka si Husin disebabkan oleh kebosanan kuliah professornya.

" Prof saya akan bagi 5 jawapan, boleh ?" Tanya Husin dengan penuh yakin.

" Yes!, Sudah tentu boleh. Hebatnya kamu. Saya minta satu jawapan tapi kamu ingin bagi 5 jawapan. Macam inilah pelajar yang saya nakkan," kata professor dengan penuh semangat dan dalam masa yang sama seolah-olah terasa dicabar oleh anak muridnya sendiri.

" Cepat saya tidak sabar untuk mendengarnya,"

Kawan-kawan seperjuangan si Husin seolah-olah terkejut dengan permintaannya. Ada yang rasa hairan malah ramai juga yang memberi reaksi setuju dengan tindakannnya itu.

" Soalan yang prof kemukakan amat mudah untuk dijawab. Saya ulang kembali soalan itu iaitu Bagaimanakah caranya kamu dapat mengukur ketinggian sesuatu bangunan dengan menggunakan barometer " kata Husin dengan selamba.

Suasana dewan kuliah itu sepi. Semuanya menunggu apa yang bakal diperkatakan oleh Husin.

" Dengar baik-baik", Husin memulakan kata.

" Jawapan pertama saya ialah, saya akan membawa barometer itu keatas bumbung bangunan dan ikat dengan tali panjang dan campakkan barometer itu kebawah sehingga mencecah tanah. Kemudian saya akan tarik keatas semula dan ukur berapa panjang tali yang telah saya guna. Panjang tali itu tentu sama dengan tinggi bangunan tersebut, " terang Husin kepada semua.

" Ciss! Bodoh. Bukan itu jawapannya. saya tidak pernah mengajar kamu menjadi seorang tukang kayu. Saya mengajar kamu menjadi seorang ahli fizik. Sila jawab dengan ayat dan penerangan skema yang betul," marah si professor itu kepada Husin. Geramnya teramat sangat.

" Baiklah,kalau prof tidak dapat menerima jawapan pertama saya, saya bersedia ingin memberi jawapan kedua."

" Ya ! Teruskan," marah si profesor semakin membuak-buak.

" Ok.Jawapan kedua saya untuk soalan mudah ini," sengaja Husin ingin memainkan api kemarahan professornya.

" Saya akan balingkan barometer yang professor bagi itu kebawah dari puncak bangunan tersebut. Dengan menggunakan formula ini S = 1/2 at , saya akan mengira dan hasilnya akan memberitahu ketinggian bangunan ini," ringkas jawapan Husin sambil tersenyum.

" Tidak tepat. Itu bukan jawapannya". Kali ini professor sedikit sejuk mungkin jawapan yang Husin beri ada kena mengena dengan fizik yang diajarnya.

" Ok. Tidak mengapa. Jawapan ketiga saya ialah saya akan tunggu sehingga cuaca panas".

" Kenapa dengan cuaca panas. Kamu nak berpiknik ke? , soal professor kepada Husin.

Kawan-kawanya tergelak dengan pertanyaan prof mereka itu.

" Bila hari panas saya akan mengukur panjang bayang-bayang bangunan tersebut. Hasilnya akan saya catat dan beri kepada prof,"

"Kenapa bodoh sangat kamu ni. Itu bukan yang saya ajar". Suhu kemarahan professor naik semula.Ingin saja dia melayangkan pemadam papan hijau yang dipegangnya ke arah muka Husin. "Apa yang kamu makan sehingga bodoh begini sekali". Bentaknya dengan nada yang keras.

Husin tersenyum.

" Ok jawapan keempat saya, saya akan tegakkan barometer pada dinding bangunan dari bawah dan tandakan hujung barometer itu. Sandarkan barometer itu pada hujung yang saya tanda dan ulang sehingga sampai kepuncak. Saya akan kira panjang barometer tersebut dan darab dengan berapa jumlah tanda yang saya buat pada dinding bangunan. Jumlahnya akan sama dengan ketinggian bangunan itu", terang Husin dengan penuh yakin.

"Bukan itu jawapannya", pekik professor dengan begitu kuat sekali. Gema suaranya menyentak setiap pelajar. Semua terdiam seolah ada malaikat lalu.

" Dan ini jawapan terakhir saya". Husin semakin bersemangat menerusksn jawapan terakhirnya meskipun professornya seumpama harimau lapar. "Saya akan berlari menuju kebilik ketua pengawal keselamatan dan bertanya kepadanya berapa ketinggian bangunan ini. Jika dia gagal menjawab, saya meminta dia menunjukkan plan kecemasan atau plan bangunan ini. Didalam plan tersebut pasti ada menerangkan data-data mengenai bangunan ini. Tidak lupa saya akan hadiahkan barometer ini kepadanya sebagai tanda terima kasih," senyum simpul jawab Husin.

Suasana dewan kuliah sedikit ceria mendengar jawapan lucu dari rakan mereka. Ada yang ketawa dan ada yang bertepuk tangan seolah-olah setuju dengan jawapan itu. Tiba-tiba...

" Dummm, dummm,dummm," kedengaran bunyi hentakkan dimeja professor.

" Kamu semua boleh ketawa dengan jawapan dari orang gila ini ye?,"Soal professor kepada semua pelajarnya.

"Jika itulah yang kamu jawab semasa peperiksaan akhir nanti, semester depan kamu akan berjumpa dengan saya semula dan jika tidak bernasib baik kamu tidak akan berada di universiti ini lagi. Buat apa mengajar orang yang bodoh. Buang masa saja mengajar pelajar yang tidak dapat menurut apa yang diajar. Pernahkah saya mengajar seperti yang dikatakan oleh kawan kamu ini. Husin sebagai hukuman saya hendak kamu membuat soalan ini sebagai satu tugasan. Jam 8 pagi esok saya mahu berada diatas meja saya, faham," tegas sekali nada professor kali ini.

Dewan kuliah kembali sunyi. Masing-masing terpinga-pinga. Seribu persoalan bermain diminda mereka, adakah mereka pun sekali kena membuat tugasan ini atau Husin seorang saja. Ramai yang buntu tetapi takut untuk bertanya. Masing-masing melayan perasaan sendiri.

Tiba-tiba Husin bingkas bangun.

" Prof, boleh saya bagi jawapan terakhir saya," kata Husin memohon diberi peluang untuk mendengar jawapan terakhir.

"Huh ! Rengus professor itu. "Jawapan bodoh lagi ke? Atau kamu ingin lagi tugasan ini ditambah".

"Saya ingin memberitahu jawapan sebenar," perlahan saja Husin berkata.

" Baiklah saya beri peluang".

"Jawapannya mudah sekali, untuk dapatkan ketinggian bangunan tersebut kita boleh mengambil bacaaan tekanan barometer pada tapak bangunan dan juga diatas bangunan. Dengan mengira perbezaan antara kedua-dua tekanan itu kita boleh mendapatkan jawapan ketinggian bangunan tersebut". Bingkas Husin duduk kembali ketempat asalnya.

" Yaaaa! Itulah jawapannya. Kenapa kamu tidak menjawap jawapan ini tadi. Husin saya tanya kenapa kamu tidak menjawab tadi? " Lantang sungguh suara professornya menyoal Husin dan dari detik itulah bermula kata-kata diawal tadi.

" Professor pembunuhhhhhhhh!" Jerit Husin sekuat hati.

" Proflah yang telah cuba membunuh kami dan proflah juga yang telah menyeksa bukan kami sahaja,pelajar-pelajar sebelum ini bertahun-tahun lamanya. Kami ini tidak ubah seperti haiwan peliharaan didalam sebuah sarkas", bentak pelajar lelaki tersebut.

" Kenapa kamu sanggup menuduh saya sebagai pembunuh? Apakah salah dan dimanakah silap saya sebelum ini", soal professor tua itu perlahan ingin mendapatkan penjelasan.

" Apakah dengan soalan saya tadi, tergamak kamu mengeluarkan kata-kata sebegitu", sayu kedengaran dari mulut siprofessor itu.

" Yaaa! Proflah pembunuh kreativiti kami semua dan proflah yang menyekat perkembangan keupayaan kami berfikir. Adakah jawapan yang saya bagi tadi salah ? Adakah salah saya cuba mempelbagaikan jalan penyelesaian. Adakah salah saya mencuba pelbagai kaedah dan adakah perlu kami hanya memegang hanya satu jalan penyelesaian turun temurun demi memuaskan hati prof. Cuba prof jawab," Husin meluru turun sambil menuju ke pintu keluar.

Kedengaran pintu dewan kuliah ditutup dan suasana kembali sunyi dengan berbagai tafsiran difikiran masing-masing.

Professor duduk terpelaku di kerusi. Berfikir dan terus berfikir adakah selama ini dia merupakan seorang pembunuh. Mungkin benar kerana inilah yang telah diajar sejak dulu lagi. Istilah analitikal-logikal kembali menghantuinya. Setiap soalan yang diberi, jawapannya haruslah tepat dengan jalan yang satu. Dalam ertikata sebenar setiap permasalahan perlu diselesaikan mengikut jalan penyelesaian yang telah sedia ada.

Inilah sistem pendidikan yang telah diamanahkan sejak turun temurun, dan amanah itulah yang cuba diselesaikan sebaik mungkin dan hari ini amanah itu cuba diragut, disentap dan dipersoalkan.
Pelajar yang bernama Husin ini satu-satunya pelajar yang cuba menidakkan jawapan yang sedia ada malah dengan berani mencabar penyelesaian yang baru. Tidakkah ini petunjuk awal kepada angin perubahan didalam sistem pendidikan disini.


"Eh ! Hani ni ke entry terbaru ko?".

"Yup! Macamana nko setuju?

"Hmmmm. Berani ko cadangkan perubahan kepada kementerian?", Cabar si Ain.

"Takmohh laaa....bisa goncang peruk nasiku. Ha ha ha

Kami ketawa.


p/s : Cara berfikir analitikal-logikal memegang hanya ada satu jawapan yang betul serupa dengan lojik matematik dan cara berfikir kreatif pula yakin ada banyak jawapan betul yang boleh diterokai.

p/p/s : Sifir Master adalah kaedah matematik Kreatif yang memegang konsep gaya berfikir kreatif. Terpulang kepada anda untuk menggunakan kaedah yang mana satu kerana setiap persoalan terdapat berbagai jalan penyelesaian. Tepuk dada tanya iman.


Sumber : Cerita diatas hanyalah rekaan diadaptasi dari Buku Teknik Berfikir Karya Ainon Mohd dan abdullah Hassan/Terbitan Utusan Publications & Distributors Sdn.Bhd/Edisi Ulang Cetak 1998/ms227.






2 comments:

  1. Fuhh...jenuh jg membaca entri yg panjang ni. Tapi kandungan akademiknya memang padat.
    FYI, sistem pendidikan kita sedang bergerak ke arah itu dan abg ijal salah seorang dlm gerakan ni melalui rundingan meja bulat NKRA. Setuju, sesuatu yg lebih berani dan besar perlu dilaksanakan dalam sistem pendidikan kita!

    ReplyDelete
  2. Teruskan usaha murni tuan :)

    ReplyDelete